KURIKULUM DI MALAYSIA

~Jommm...mari kita sama-sama meneliti dan berkongsi idea berkaitan isu kurikulum pendidikan di Malaysia...
Sesungguhnya orang yang beramal dan berjuang tanpa didasari dengan ilmu, maka dia akan membuat lebih banyak kerosakan berbanding kebaikan - Umar Abdul Aziz

Thursday 30 August 2012

Kuasa Merotan Murid

Selepas menjalani pengalaman berasaskan sekolah (PBS) selama 2 minggu di sekolah sebelum cuti raya , saya rasa tidak sabar pula untuk bergelar 'Cikgu'..cepatlah wahai masa kau berlalu pergi...=) Walaubagaimanapun, dalam keterujaan untuk bergelar cikgu, di sini saya ingin mengingatkan diri saya dan anda semua supaya berhati-hati dalam bab menghukum murid. Usah menghukum mengikut emosi. Kuasa merotan hanya diberi kepada guru besar atau pengetua sahaja. Namun, guru besar atau pengetua boleh menurunkan kuasa merotan kepada guru dengan bersurat iaitu dengan menggunakan Surat Penurunan Kuasa Melaksanakan Hukuman Rotan sepertimana dalam Lampiran A. Jika merotan hendaklah sesuai dengan jenis kesalahan yang dilakukan seperti yang tercatat dalam Lampiran B. Berikut ialah Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 dan contoh Surat Penurunan Kuasa Melaksanakan Hukuman Rotan serta Jenis Kesalahan Dan Hukuman Yang Boleh Dikenakan Mengikut Jenis Kesalahan;

sumber pekeliling : Kementerian Pelajaran Malaysia






Wednesday 29 August 2012

Guru Dan Kemahiran Profesional


Saya rasakan artikel ini bermanfaat dan saya ingin kongsikan bersama anda. SUMBER: KLIK DI SINI
Konsep Kemahiran Profesional
Kemahiran profesional bermaksud seseorang itu mempunyai kemahiran dan pakar dalam bidang yang diceburinya. Seseorang yang memiliki kemahiran profesional mampu melaksanakan tugasnya tanpa banyak masalah yang timbul. Bagi seseorang yang profesional, dia bukan hanya mahir dalam bidang yang diceburinya, malah juga mempunyai pengetahuan dalam bidang-bidang lain.
Tiga ciri kemahiran profesional guru.
  1. Selain daripada memiliki sijil kelayakan kemahiran ikhtisas yang diikhtiraf, guru juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam banyak aspek, bukan sahaja mata pelajaran yang diajarnya.
  2. Bertanggungjawab dan memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi.
  3. Terlatih dan mahir dalam tugas-tugas mengajar dan membimbing murid-murid.
Tiga bidang ilmu yang diperolehi dari kemahiran belajar melibatkan penggunaan mental
  1. Bidang kognitif
  2. Bidang afektif
  3. Bidang psikomotor
Ciri guru yang menguasai kemahiran profesional berfikir
  1. Dapat menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah.
  2. Mahir dalam penyusunan maklumat, konsep atau idea.
  3. Berfikir untuk menghasilkan sesuatu yang baru terutamanya dalam pengajaran.
Peranan guru sebagai pemudahcara
  1. Memberi bimbingan, motivasi dan menggerakkan murid-murid dalam kelasnya agar menjalankan serta mengikuti aktiviti pembelajaran.
  2. Memastikan penggunaan strategi pengajaran berpusatkan murid dan berpusatkan bahan belajar.
Kemahiran menggurus bilik darjah oleh guru.
1. Pengurusan rutin bilik darjah
• Kemahiran tersebut termasuklah menanda jadual kedatangan murid setiap hari persekolahan, mengutip yuran yang dikenakan kepada murid-murid, menyemak keadaan fizikal bilik darjah dan sebagainya.
2. Pengurusan peraturan-peraturan bilik darjah
• Guru harus menyediakan dan mengurus peraturan-peraturan yang perlu ada di dalam bilik darjah. Kita juga harus memastikan murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan itu.
• Memberi ganjaran atau hukuman yang setimpal sekiranya murid-murid melanggar peraturan juga merupakan salah satu kemahiran yang perlu dalam kemahiran mengurus peraturan-peraturan bilik darjah.
Penggunaan komputer dalam pendidikan.
Tiga bidang komputer dalam konteks pendidikan ialah:
1. Komputer Membantu Pendidikan (CAE)
• Iaitu penggunaan sistem komputer yang akan digunakan oleh guru sebagai bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran serta membantu mencapai objektif pelajaran.
2. Komputer Membantu Pengajaran (CAI)
• Merupakan penggunaan teknologi dan sistem komputer dalam proses pengajaran. Aplikasi komputer digunakan oleh pelajar terutamanya ketika mengikuti pelajaran terancang atau penggunaan modul-modul pengajaran.
3. Komputer mengurus pengajaran (CMI)
• Penggunaan teknologi dan sistem komputer bagi tujuan mengumpul maklumat data dan menganalisis serta menilai keberkesanan pengajaran di bilik darjah.
Dua kemahiran profesional yang perlu dikuasai oleh guru untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.
1. Kemahiran Belajar
• Guru hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa.
• Oleh yang demikian, guru haruslah mempunyai kemahiran belajar agar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan sempurna. Sekiranya seseorang itu telah memiliki pelbagai kemahiran dan pengetahuan hasil daripada pembelajarannya, maka dia akan dapat menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain khususnya murid-murid.
2. Kemahiran Merancang
Guru yang mempunyai kemahiran merancang sebelum melaksanakan pengajaran akan berupaya memilih bahan-bahan pengajaran yang sesuai, memilih strategi dan kaedah mengajar serta dapat merancang aktiviti pengajaran yang sistematik.
Sekiranya guru dapat merancang pengajarannya dengan baik, ini akan menjamin keberkesanan pengajaran tersebut dan seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Tuesday 28 August 2012

PROGRAM LINUS-Impian 95% murid celik huruf hampir tercapai


KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan melihat murid tahap satu dan dua celik huruf selain mampu menguasai kemahiran membaca, menulis serta mengira semakin menjadi kenyataan.
Ini berdasarkan pencapaian cemerlang inisiatif literasi dan numerasi di bawah program Saringan Literasi dan Numerasi (Linus) yang mencapai sasaran lebih awal daripada jangkaan kerajaan.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar, Tengku Azian Tengku Shahriman berkata, pihaknya sebelum ini berpendapat sasaran 95 peratus murid celik huruf hanya dicapai menjelang hujung tahun.
“Bagaimanapun, setakat separuh pertama tahun ini (berakhir Jun) sudah 90 peratus dicapai untuk literasi Linus, manakala kadar numerasi Linus sudah memenuhi sasaran, 95 peratus. “Ini memberi ruang untuk pertumbuhan peratusan yang lebih besar berbanding sasaran tahunan kita....satu perkembangan sangat baik,” katanya ketika membentangkan laporan terkini Inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) separuh tahun pertama 2011, di sini, semalam.

Laporan diterajui Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), membabitkan enam NKRA termasuk Mengurangkan Jenayah, Membanteras Rasuah, Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar serta Mempertingkat Pengangkutan Awam di Bandar.

SUMBER: hmetro


Bagi mereka yang masih lagi belum mengetahui tentang program LINUS ini, di sini saya akan berkongsikan serba sedikit tentang maklumat yang berkaitan. 

Latar Belakang


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) manyedari bahawa masih ada murid sekolah rendah yang belum menguasai  literasi dan numerasi . Ketidakupayaan murid untuk menguasai literasi dan numenasi mungkin disebabkan mereka kurang peluang dan tiada pendedahan untuk menguasai kemahiran tersebut sebelum mengikuti pendidikan formal. Oleh sebab itu, KPM merancang untuk mengatasi masalah tersebut melalui program Literasi dan Numerasi (LINUS).
Dalam melaksanakan program ini, KPM telah menghasilkan modul pengajaran dan pembelajaran berasaskan beberapa konsep untuk membolehkan murid menguasai literasi dan numerasi. 

Definisi Literasi dan Numerasi

Literasi ditakrifkan sebagai keupayaan membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat yang mudah dan kompleks dalam Bahasa Malaysia dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan
komunikasi harian.

Numerasi ditakrifkan sebagai keupayaan membaca, menulis, mengira dan menyusun nombor sehingga 1000, menjadi cekap dalam operasi matematik seperti menambah, menolak, mendarab dan membahagi dan dapat mengaplikasikannya dalam operasi wang, masa dan ukuran panjang.

Strategi untuk mencapai sasaran literasi dan numerasi

Bagi mencapai sasaran ini, kami telah membangunkan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) bagi memastikan murid memperolehi kemahiran asas literasi dan kemahiran asas numerasi. Tumpuannya adalah kepada usaha utama bagi meningkatkan tahap literasi dan numerasi murid dan dihuraikan seperti berikut:

 Proses Saringan: Saringan dijalankan tiga kali setahun iaitu pada bulan Mac, Jun dan September bagi membantu mengenal pasti murid yang tidak mencapai standard yang berkaitan. Murid tersebut akan mengikuti Program LINUS atau Program Pendidikan Khas.

 Modul pengajaran dan pembelajaran: Modul ini berasaskan beberapa konsep untuk membolehkan murid menguasai literasi dan numerasi. Konsep yang diambil kira ialah pendekatan literasi dan numerasi secara bersepadu, ansur maju, didik hibur, penggabungjalinan dan pengulangan. Modul ini memuatkan beberapa maklumat berhubung dengan senarai kemahiran yang perlu diajar serta cadangan aktiviti dan latihan.

 Pengukuhan Amalan Pedagogi: Menyedari kekurangan guru pakar dalam pengajaran asas literasi dan numerasi, latihan guru secara intensif dilaksanakan bagi mengukuhkan ilmu pengetahuan dan pedagogi serta  mengenal pasti murid pelbagai kebolehan dan menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

 Membina komitmen bagi semua pihak berkepentingan: Program dan aktiviti kesedaran akan dianjurkan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Guru Besar, ibu bapa, Persatuan Guru dan orang ramai bagi mendapatkan sokongan dan memenuhi peranan masing-masing dalam menjayakan program LINUS.

 Memantau dan menyelia: Pemantauan dan penyeliaan secara intensif akan membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan seterusnya melakukan proses penambahbaikan.

 FasiLINUS di peringkat daerah: Merupakan Pegawai FasiLINUS yang diberi tanggungjawab untuk membantu guru literasi dan numerasi di sekolah dan ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah. Selain melatih dan membimbing guru-guru LINUS, mereka akan membantu sekolah membangunkan strategi yang bersesuaian berdasarkan keputusan saringan untuk menangani isu khususnya terhadap literasi dan numerasi. Mereka turut berperanan sebagai pengantara kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah-sekolah dibawah seliaannya.




Instrumen Saringan

Lembaga peperiksaan (LP) telah bertanggungjawab untuk menghasilkan instrumen saringan. Tujuan penghasilan instrumen ini adalah untuk mengesan dan mengenalpasti murid LINUS sepanjang tiga tahun  mengikuti pendidikan rendah di Malaysia. Instrumen saringan ini direka bentuk berdasarkan 12 konstruk asas literasi dan numerasi sejajar dengan definisi yang telah ditetapkan oleh KPM. 


Sumber : Buku Panduan Dan Pengoperasian LINUS, KPM

Berdasarkan Program Linus ini, organisasi kandungannya ialah hierarki dari mudah ke lebih kompleks.Setiap kemahiran disusun dengan lebih terperinci dan saling berkaitan dengan kemahiran lain.Strategi Kandungan Modul adalah bertumpu pada gaya pembelajaran murid dan menepati pada skop soalan dan cara penyoalan.Gaya Pembelajaran guru haruslah berteraskan pada cara murid memproses maklumat dari konkrit kepada abstrak serta cara murid memproses maklumat dari pasif kepada aktif.Pelbagai cadangan strategi penyelesaian masalah. Antaranya ialah aktiviti pembelajaran yang melibatkan murid secara aktif. Strategi Pelaksanaan P & P haruslah seronok,bermakna,berguna serta mencabar untuk murid-murid di dalam kelas. Secara keseluruhannya, program LINUS ini sangat berkesan dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk menangani masalah buta huruf dalam kalangan masyarakat Malaysia. Diharapkan program ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan membuahkan hasil seperti yang diharapkan.  

Instrumen Linus (numerasi)




Thursday 23 August 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH: PELAKSANAAN DAN CABARAN


Pengenalan

Dapatan penyelidikan Profesor Madya Dr. Faizah binti Abdul Majid, dari Fakulti Pendidikan UiTM yang diterbitkan dalam Journal of US-China Education Review, Vol.8, No.10, 2011. ISSN1548-6613 memberikan perspektif asas tentang pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) di Malaysia dan cabaran yang bakal dihadapi. Menurut beliau, PBS belum sampai ke tahap pelaksanaan penuh (full swing). Shanusi Ahmad (LPM) dalam kertas cadangan Ph.D beliau menegaskan bahawa PBS di Malaysia lebih berbentuk gabungan dengan sistem peperiksaan berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Dasar kenaikan automatik murid ke tingkatan empat dan persijilan terbuka mulai tahun 1992 telah membuka jalan kepada titik tolak pelaksanaan PBS menerusi ujian lisan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh guru di sekolah masing-masing. Pengenalan kerja kursus dan folio kajian tempatan sejak sekolah rendah lagi mengukuhkan pelaksanaan PBS. Penambahbaikan ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR) dan pemansuhan penilaian menengah rendah (PMR) mulai tahun 2014 juga bakal menyaksikan pelaksanaan PBS yang lebih menyeluruh.

Isu-isu Pelaksanaan PBS

Hamzah dan Sinnasamy (2009) mendapati bahawa pelaksanaan ujian lisan berasaskan sekolah (PLBS dan ULBS) tidak akur sepenuhnya dengan kehendak garis panduan LPM. Hal itu berpunca daripada tahap kesedaran inovasi dan perubahan yang masih belum mencukupi. Kepimpinan PBS yang diterajui oleh pengetua juga belum benar-benar mantap dari segi kefahaman konseptual PBS dan peranan ikhtisas yang perlu dipatuhi.

Kecairan maklumat akibat kaedah latihan teragih yang bermula daripada kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, sekolah, jawatankuasa kurikulum dan panitia mata pelajaran mengakibatkan proses pendedahan kepada guru pelaksana PBS menjadi suntuk. Jurulatih utama (JU) berkursus selama seminggu, tetapi apabila sampai kepada panitia, taklimat hanya mengambil masa dua jam. Guru juga berhadapan dengan peruntukan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain. 

Pemantauan oleh pakar dan pihak berkuasa pelajaran juga berhadapan dengan kekangan kewangan dan tatacara pergerakan guru keluar daripada kawasan sekolah masing-masing. JU dan pentaksir kawasan tidak boleh bertugas di luar kawasan sekolah melebihi 30 peratus daripada waktu rasmi di sekolah. Maka, tanggungjawab pemantauan diserahkan pula kepada pengetua, penolong kanan (pentadbiran dan kurikulum) dan guru-guru kanan mata pelajaran yang sudah sedia sibuk dengan pelbagai jenis borang dan data. 

Bagi memastikan bahawa pihak sekolah akur dengan konsep PBS, pengetua dikehendaki menyediakan sistem data dan fail yang berfungsi sebagai bukti hitam putih hasil kerja setiap orang murid. Bilangan fail mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan. Sistem kod dan nombor fail mesti seragam supaya carian fail dapat dilakukan secara serta-merta jika diminta oleh pegawai atasan yang memantau pelaksanaan PBS secara mengejut.

Pengurusan PBS secara atas talian

Kemajuan teknologi maya dan jaringan ialah jawapan kepada isu timbunan fail dan pembaziran kos cetakan dan penjilidan folio murid, kecuali untuk projek pendidikan seni visual atau kerja pertukangan kemahiran hidup. Eza Shafinaz binti Mohamed Zaharin (2011) menerusi kertas projek sarjana sains maklumat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencadangkan sistem e-folio. Eza menyenaraikan manfaat e-folio yang dapat menangani masalah kehilangan bukti dokumentasi bertulis, ciplak, ruang penyimpanan, kos cetak dan jilid, melengkapkan pelbagai format borang, kecuaian manusia dan sebaran maklumat PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Penggunaan e-folio juga memberi kesempatan kepada murid untuk mempersembahkan hasil kerja mereka secara multimedia. Folio kerja kursus tidak lagi terhad kepada bentuk kertas berjilid, sebaliknya boleh dinaik taraf kepada format audio visual, animasi dan grafik yang canggih. Nilai tambah pelaksanaan PBS menerusi sistem e-folio sudah tentu lebih ketara.

Capaian e-folio boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang mempunyai akses internet, serta boleh dilindungi menerusi kata laluan, fail read-only dan had akses untuk orang awam. Capaian penuh hanya dibenarkan untuk pemilik folio, pentaksir dan pihak berkuasa pendidikan tertinggi. Pihak lain hanya boleh membaca bahagian abstrak atau sinopsis, serta perlu mendapat keizinan pemilik folio menerusi e-mel yang tertera jika hendak memperoleh versi folio yang lengkap.

Sistem e-folio boleh diletakkan di bawah sistem analisis peperiksaan sekolah (SAPS) sedia ada dan skor markah terus ke laman sesawang LPM atau MPM. Untuk keselamatan data, segala fail hendaklah juga disimpan secara talian tempatan (off-line, LAN) dan peranti mudah alih lain seperti cakera padat (CD), pemacu jari (thumb-drive) dan lain-lain. Selain itu, murid dan pentaksir sekolah juga digalakkan mewujudkan sistem e-mel sebagai salinan fail tambahan untuk pelan B kepada risiko ancaman serangan penggodam dan virus terhadap sistem induk e-folio.

Cabaran Pelaksanaan PBS

PBS ialah sebahagian proses perubahan konsep pentaksiran yang terlaksana di seluruh dunia. Finland misalnya telah melaksanakan PBS tanpa peperiksaan secara berpusat dalam tempoh 9 tahun persekolahan  awal kanak-kanak. Australia, Hong Kong dan New Zealand juga boleh dianggap berjaya melaksanakan PBS secara sistematik. Kepesatan perubahan persekitaran pendidikan, dinamika masyarakat dan industri bererti PBS ialah suatu keperluan yang kritikal dan segera.

Proses perubahan sentiasa menggugat status quo dan kelompok zon selesa. Pembaharuan akan mengakibatkan kehilangan kedudukan, kebiasaan dan kepakaran lama. Usaha menarik perhatian ke arah melemahkan rintangan terhadap perubahan dan mengukuhkan daya pacu perubahan perlu dikendalikan secara paling bijaksana, cermat dan hormat.

Kepercayaan terhadap pelaksanaan PBS sebagai ganti sistem pentaksiran berpusat LPM dan MPM sepenuhnya perlu dipupuk dalam kalangan murid, guru dan masyarakat. Murid akan lebih bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran kendiri, guru dengan tanggungjawab ikhtisas dan masyarakat menerima PBS sebagai kayu ukur pencapaian pembelajaran murid. Pihak LPM dan MPM pula akan bertindak sebagai pemantau, penyelaras dan penjaga kesahan, serta kebolehpercayaan PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Langkah Memperkasa PBS

Guru akan sentiasa menjadi tulang belakang dan tumpuan pelaksanaan PBS. Maka, keperluan latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service training atau Inset) harus berorientasi praktikum (hands-on). Ladap berbentuk ceramah, taklimat dan kursus aras komunikasi dua hala terhad perlu kepada proses ubah suai. Gaya pengajaran guru dengan gaya pembelajaran murid menerusi pelaksanaan PBS mestilah sentiasa akur dan sejajar.

Memandangkan begitu banyak data dan fail yang hendak diuruskan, pelantikan pembantu guru hendaklah dibuat dengan segera. Pembantu guru hanya dikhususkan untuk meningkatkan kecekapan kemasukan data pembelajaran, bukan untuk membantu kerja-kerja pejabat seperti urusan stok dan percetakan. Spesifikasi dan terma tugas pembantu guru hendaklah secara jelas menegaskan hal berkenaan, terutama sistem pengurusan data dan fail PBS.


Secara teorinya, pelaksanaan PBS sangat memberi manfaat kepada guru, pelajar dan masyarakat. Guru tidak lagi terbeban untuk mengejar A bagi setiap mata pelajaran dan pelajar juga lebih bersemangat kerana penilaian dijalankan secara berterusan dan menyeluruh. Bertitik tolak dengan kejayaan pelaksanaan PBS sedia ada seperti ULBS, PEKA, KAFA dan sebabagainya yang telah diambil kira sebagai markah dalam peperiksaan awam , maka timbul idea daripada KPM untuk memansuhkan UPSR menjelang tahun 2012 untuk digantikan dengan PBS sepenuhnya. 
        Namun, dari segi pelaksanaannya, masih belum menunjukkan kejayaan yang sepenuhnya. Pelbagai punca, kekangan dan masalah yang menjejaskan pelaksanaan PBS di sekolah antaranya dari segi faktor amalan profesionalisme dan falsafah pegangan guru dan faktor budaya, tradisi, kepimpinan dalam pendidikan termasuk kesesuaian acuan penilaian dan amalan birokrasi yang perlu mengambil kira keperluan pelajar. Sebagai contoh, jika PBS dilaksanakan sepenuhnya untuk menggantikan  UPSR masalah timbul untuk menilai gred murid bagi kemasukan ke sekolah elit seperti MRSM , SBP dan sebagainya. Selain itu, pelbagai isu lain juga timbul di mana ianya dikatakan membebankan guru. Tugas-tugas guru yang sedia banyak akan dibebankan lagi dengan pelbagai jenis folio dan dokumen berkaitan yang perlu disediakan dan dilaksanakan. Bilangan pelajar yang ramai juga menyebabkan guru tidak cukup masa untuk melaksanakan PBS dengan sistematik. Guru boleh juga dilabel sebagai "kerani" dengan bebanan tugas yang banyak ini. 
         Pengurusan PBS secara atas talian merupakan satu alternatif yang terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru ini namun ianya juga mempunyai kelemahan yang tersendiri seperti jaringan internet yang terhad, capaian internet yang sibuk dan tidak memuaskan dan sebagainya. 
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pelaksanaan PBS di sekolah adalah sangat tepat dan bermanfaat namun ianya perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan dan mengambilkira luahan dalam kalangan guru sendiri tentang pelaksanaan PBS ini. Hanya guru yang mengetahui kekangan yang dialami mereka dan mungkin mereka juga mempunyai cadangan sebagai jalan penyelesaian dalam melaksanakan PBS. Saya sendiri sebagai guru tidak menafikan akan kepentingan dan kebaikan pelaksanaan PBS di sekolah, malah ingin mencadangkan supaya KPM menyediakan pembantu guru bagi merialisasikan hasrat untuk melaksanakan PBS sepenuhnya di sekolah. 

Thursday 9 August 2012


KSSR KURANGKAN TEKANAN PEPERIKSAAN, BINA MODAL INSAN BERKESAN


Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global.  KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan. Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu menaakul menjadikannya 4M.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri, Saadun Kasim, berkata KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan seumur hidup.  Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kurikulum itu turut bersandarkan enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai.  Pembaharuan lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan.

Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.  Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.  Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini.


Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.  Portfolio adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya. Dokumen ini dibahagikan kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran.  Portfolio perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa, membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai.

Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid.  Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk pemberian penghargaan.  Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong Oi Lai, berkata pendekatan baru ini membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan dan teratur.  Katanya, portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya. “Pengukuran tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam.

“Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali,” katanya. Beliau berkata, band satu peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya.  Ia memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam kebolehan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan mereka.


Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata walaupun ujian bertulis masih dijalankan seperti dulu, proses penilaian KSSR mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan yang ditonjolkan murid dalam kelas. “Guru perlu memahami etika perguruan, jujur dalam tugas dan tidak boleh melebihkan murid tertentu demi kepentingan peribadi,” katanya mengulas mengenai kaedah penilaian murid.  Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Damansara, Datuk Mohd Nadzli Othman, berkata, oleh sebab sebahagian proses penilaian dilakukan oleh sekolah, murid akan berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. Katanya, mereka akan bersaing dengan murid lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka.

Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR bermula tahun ini membabitkan murid Tahun Satu adalah inisiatif memperkasa modal insan negara


~~Marilah sama-sama kita renungkan!!Ini adalah pewaris pemaju negara~~

ULASAN

Dengan wujudnya sistem KSSR dalam dunia pendidikan, maka murid-murid tidak lagi tertekan dengan peperiksaan awam. Sistem Pentaksiran Pendidika kebangsaan (SPPK) merupakan tunjang utama adalam KSSR  adalah bermatlamatkan untuk mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan. Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. Ini akan melahirkan murid yang mempunyai tahap kebolehan dan pemikiran yang tinggi.