KURIKULUM DI MALAYSIA

~Jommm...mari kita sama-sama meneliti dan berkongsi idea berkaitan isu kurikulum pendidikan di Malaysia...
Sesungguhnya orang yang beramal dan berjuang tanpa didasari dengan ilmu, maka dia akan membuat lebih banyak kerosakan berbanding kebaikan - Umar Abdul Aziz

Thursday 23 August 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH: PELAKSANAAN DAN CABARAN


Pengenalan

Dapatan penyelidikan Profesor Madya Dr. Faizah binti Abdul Majid, dari Fakulti Pendidikan UiTM yang diterbitkan dalam Journal of US-China Education Review, Vol.8, No.10, 2011. ISSN1548-6613 memberikan perspektif asas tentang pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) di Malaysia dan cabaran yang bakal dihadapi. Menurut beliau, PBS belum sampai ke tahap pelaksanaan penuh (full swing). Shanusi Ahmad (LPM) dalam kertas cadangan Ph.D beliau menegaskan bahawa PBS di Malaysia lebih berbentuk gabungan dengan sistem peperiksaan berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Dasar kenaikan automatik murid ke tingkatan empat dan persijilan terbuka mulai tahun 1992 telah membuka jalan kepada titik tolak pelaksanaan PBS menerusi ujian lisan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh guru di sekolah masing-masing. Pengenalan kerja kursus dan folio kajian tempatan sejak sekolah rendah lagi mengukuhkan pelaksanaan PBS. Penambahbaikan ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR) dan pemansuhan penilaian menengah rendah (PMR) mulai tahun 2014 juga bakal menyaksikan pelaksanaan PBS yang lebih menyeluruh.

Isu-isu Pelaksanaan PBS

Hamzah dan Sinnasamy (2009) mendapati bahawa pelaksanaan ujian lisan berasaskan sekolah (PLBS dan ULBS) tidak akur sepenuhnya dengan kehendak garis panduan LPM. Hal itu berpunca daripada tahap kesedaran inovasi dan perubahan yang masih belum mencukupi. Kepimpinan PBS yang diterajui oleh pengetua juga belum benar-benar mantap dari segi kefahaman konseptual PBS dan peranan ikhtisas yang perlu dipatuhi.

Kecairan maklumat akibat kaedah latihan teragih yang bermula daripada kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, sekolah, jawatankuasa kurikulum dan panitia mata pelajaran mengakibatkan proses pendedahan kepada guru pelaksana PBS menjadi suntuk. Jurulatih utama (JU) berkursus selama seminggu, tetapi apabila sampai kepada panitia, taklimat hanya mengambil masa dua jam. Guru juga berhadapan dengan peruntukan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain. 

Pemantauan oleh pakar dan pihak berkuasa pelajaran juga berhadapan dengan kekangan kewangan dan tatacara pergerakan guru keluar daripada kawasan sekolah masing-masing. JU dan pentaksir kawasan tidak boleh bertugas di luar kawasan sekolah melebihi 30 peratus daripada waktu rasmi di sekolah. Maka, tanggungjawab pemantauan diserahkan pula kepada pengetua, penolong kanan (pentadbiran dan kurikulum) dan guru-guru kanan mata pelajaran yang sudah sedia sibuk dengan pelbagai jenis borang dan data. 

Bagi memastikan bahawa pihak sekolah akur dengan konsep PBS, pengetua dikehendaki menyediakan sistem data dan fail yang berfungsi sebagai bukti hitam putih hasil kerja setiap orang murid. Bilangan fail mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan. Sistem kod dan nombor fail mesti seragam supaya carian fail dapat dilakukan secara serta-merta jika diminta oleh pegawai atasan yang memantau pelaksanaan PBS secara mengejut.

Pengurusan PBS secara atas talian

Kemajuan teknologi maya dan jaringan ialah jawapan kepada isu timbunan fail dan pembaziran kos cetakan dan penjilidan folio murid, kecuali untuk projek pendidikan seni visual atau kerja pertukangan kemahiran hidup. Eza Shafinaz binti Mohamed Zaharin (2011) menerusi kertas projek sarjana sains maklumat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencadangkan sistem e-folio. Eza menyenaraikan manfaat e-folio yang dapat menangani masalah kehilangan bukti dokumentasi bertulis, ciplak, ruang penyimpanan, kos cetak dan jilid, melengkapkan pelbagai format borang, kecuaian manusia dan sebaran maklumat PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Penggunaan e-folio juga memberi kesempatan kepada murid untuk mempersembahkan hasil kerja mereka secara multimedia. Folio kerja kursus tidak lagi terhad kepada bentuk kertas berjilid, sebaliknya boleh dinaik taraf kepada format audio visual, animasi dan grafik yang canggih. Nilai tambah pelaksanaan PBS menerusi sistem e-folio sudah tentu lebih ketara.

Capaian e-folio boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang mempunyai akses internet, serta boleh dilindungi menerusi kata laluan, fail read-only dan had akses untuk orang awam. Capaian penuh hanya dibenarkan untuk pemilik folio, pentaksir dan pihak berkuasa pendidikan tertinggi. Pihak lain hanya boleh membaca bahagian abstrak atau sinopsis, serta perlu mendapat keizinan pemilik folio menerusi e-mel yang tertera jika hendak memperoleh versi folio yang lengkap.

Sistem e-folio boleh diletakkan di bawah sistem analisis peperiksaan sekolah (SAPS) sedia ada dan skor markah terus ke laman sesawang LPM atau MPM. Untuk keselamatan data, segala fail hendaklah juga disimpan secara talian tempatan (off-line, LAN) dan peranti mudah alih lain seperti cakera padat (CD), pemacu jari (thumb-drive) dan lain-lain. Selain itu, murid dan pentaksir sekolah juga digalakkan mewujudkan sistem e-mel sebagai salinan fail tambahan untuk pelan B kepada risiko ancaman serangan penggodam dan virus terhadap sistem induk e-folio.

Cabaran Pelaksanaan PBS

PBS ialah sebahagian proses perubahan konsep pentaksiran yang terlaksana di seluruh dunia. Finland misalnya telah melaksanakan PBS tanpa peperiksaan secara berpusat dalam tempoh 9 tahun persekolahan  awal kanak-kanak. Australia, Hong Kong dan New Zealand juga boleh dianggap berjaya melaksanakan PBS secara sistematik. Kepesatan perubahan persekitaran pendidikan, dinamika masyarakat dan industri bererti PBS ialah suatu keperluan yang kritikal dan segera.

Proses perubahan sentiasa menggugat status quo dan kelompok zon selesa. Pembaharuan akan mengakibatkan kehilangan kedudukan, kebiasaan dan kepakaran lama. Usaha menarik perhatian ke arah melemahkan rintangan terhadap perubahan dan mengukuhkan daya pacu perubahan perlu dikendalikan secara paling bijaksana, cermat dan hormat.

Kepercayaan terhadap pelaksanaan PBS sebagai ganti sistem pentaksiran berpusat LPM dan MPM sepenuhnya perlu dipupuk dalam kalangan murid, guru dan masyarakat. Murid akan lebih bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran kendiri, guru dengan tanggungjawab ikhtisas dan masyarakat menerima PBS sebagai kayu ukur pencapaian pembelajaran murid. Pihak LPM dan MPM pula akan bertindak sebagai pemantau, penyelaras dan penjaga kesahan, serta kebolehpercayaan PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Langkah Memperkasa PBS

Guru akan sentiasa menjadi tulang belakang dan tumpuan pelaksanaan PBS. Maka, keperluan latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service training atau Inset) harus berorientasi praktikum (hands-on). Ladap berbentuk ceramah, taklimat dan kursus aras komunikasi dua hala terhad perlu kepada proses ubah suai. Gaya pengajaran guru dengan gaya pembelajaran murid menerusi pelaksanaan PBS mestilah sentiasa akur dan sejajar.

Memandangkan begitu banyak data dan fail yang hendak diuruskan, pelantikan pembantu guru hendaklah dibuat dengan segera. Pembantu guru hanya dikhususkan untuk meningkatkan kecekapan kemasukan data pembelajaran, bukan untuk membantu kerja-kerja pejabat seperti urusan stok dan percetakan. Spesifikasi dan terma tugas pembantu guru hendaklah secara jelas menegaskan hal berkenaan, terutama sistem pengurusan data dan fail PBS.


Secara teorinya, pelaksanaan PBS sangat memberi manfaat kepada guru, pelajar dan masyarakat. Guru tidak lagi terbeban untuk mengejar A bagi setiap mata pelajaran dan pelajar juga lebih bersemangat kerana penilaian dijalankan secara berterusan dan menyeluruh. Bertitik tolak dengan kejayaan pelaksanaan PBS sedia ada seperti ULBS, PEKA, KAFA dan sebabagainya yang telah diambil kira sebagai markah dalam peperiksaan awam , maka timbul idea daripada KPM untuk memansuhkan UPSR menjelang tahun 2012 untuk digantikan dengan PBS sepenuhnya. 
        Namun, dari segi pelaksanaannya, masih belum menunjukkan kejayaan yang sepenuhnya. Pelbagai punca, kekangan dan masalah yang menjejaskan pelaksanaan PBS di sekolah antaranya dari segi faktor amalan profesionalisme dan falsafah pegangan guru dan faktor budaya, tradisi, kepimpinan dalam pendidikan termasuk kesesuaian acuan penilaian dan amalan birokrasi yang perlu mengambil kira keperluan pelajar. Sebagai contoh, jika PBS dilaksanakan sepenuhnya untuk menggantikan  UPSR masalah timbul untuk menilai gred murid bagi kemasukan ke sekolah elit seperti MRSM , SBP dan sebagainya. Selain itu, pelbagai isu lain juga timbul di mana ianya dikatakan membebankan guru. Tugas-tugas guru yang sedia banyak akan dibebankan lagi dengan pelbagai jenis folio dan dokumen berkaitan yang perlu disediakan dan dilaksanakan. Bilangan pelajar yang ramai juga menyebabkan guru tidak cukup masa untuk melaksanakan PBS dengan sistematik. Guru boleh juga dilabel sebagai "kerani" dengan bebanan tugas yang banyak ini. 
         Pengurusan PBS secara atas talian merupakan satu alternatif yang terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru ini namun ianya juga mempunyai kelemahan yang tersendiri seperti jaringan internet yang terhad, capaian internet yang sibuk dan tidak memuaskan dan sebagainya. 
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pelaksanaan PBS di sekolah adalah sangat tepat dan bermanfaat namun ianya perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan dan mengambilkira luahan dalam kalangan guru sendiri tentang pelaksanaan PBS ini. Hanya guru yang mengetahui kekangan yang dialami mereka dan mungkin mereka juga mempunyai cadangan sebagai jalan penyelesaian dalam melaksanakan PBS. Saya sendiri sebagai guru tidak menafikan akan kepentingan dan kebaikan pelaksanaan PBS di sekolah, malah ingin mencadangkan supaya KPM menyediakan pembantu guru bagi merialisasikan hasrat untuk melaksanakan PBS sepenuhnya di sekolah. 

2 comments:

  1. Pelaksanaan PBS sangat memberi manfaat kepada guru, pelajar dan masyarakat.

    p/s : I LOVE PBS MUCH-MUCH

    ReplyDelete
  2. terbaik la cikgu,,

    ReplyDelete